Monday, January 17, 2011

Teks Majlis Perkahwinan

TEKS MAJLIS RESEPSI

KAPTEN DR NURWAHIDAH BT ZABIDIN
DAN
KAPTEN ADZRUN HISHAM BIN ADNAN

KLANG EXECUTIVE CLUB
25 DISEMBER 2010
BERSAMAAN 19 MUHARRAM 1431



Ketibaan tetamu kehormat.
Hadirin yang dirahmati sekelian, menggumumkan ketibaan tetamu kehormat:

1 Yg Berbahagia Mejar Jeneral Dato’ Dr Sukri Husin & isteri.
2 Yg Berbahagia Bregidier Jeneral Dato’ Dr Ilham Haron & isteri.
3 Yg Berbahagia Bregidier Jeneral Dato’ Dr Hussin Zainal Abidin & isteri
4 Yg Berbahagia Bregidier Jeneral Dato’ Dr Roshidah Ishak & isteri


Sirih junjung berhias indah,
Sekacip pinang pembuka kata,
Bunga manggar kilau bercahaya,
Datang berkunjung ke majlis meriah,
Sejarah terukir nilai permata,
Lembaran sejarah kini bermula.

Dari Raub pergi ke Pekan
Hendak bermalam di Kuala Lipis
Harap hadirin berikan perhatian
Mohon saya memulakan majlis

BismilLahir Rahmanir Rahim
Assalamu `Alaikum W.B.T.

Yang dihormati Encik Zabidin bin Parman dan Puan Aziah bt Kassim, selaku tuan rumah kepada Majlis Perkahwinan kita pada hari ini, yang diraikan pasangan mempelai Kapten Dr Norwahidah bt Zabidin dan pasangannya Kapten Adzrun Hisham bin Adnan,yang berbahagia tetamu kehormat, yang dihormati ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan kedua –dua tuan rumah dan kedua mempelai, hadirin dan hadirat para tetamu yang diRahmati Allah S.W.T. sekalian.

Bagi pihak tuan rumah, majlis merakamkan ucapan terima kasih dan selamat datang ke majlis resepsi kedua mempelai :
Kapten Dr Norwahidah bt Zabidin dan Kapten Adzrun Hisham bin Adnan




Awal Bismillah kata bermula,
Kalam dimula dengan sejahtera
Semoga diberkati pengantin kita,
Diretui Allah sepanjang masa

Nobat paluan Istana negeri
Keris jagoan bertatah intan
Tepat ketibaan raja sehari
Majlis resepsi kita mulakan

Dif-dif kehormat dan hadirin sekelian, mengumumkan ketibaaan kedua mempelai Kapten Dr Nurwahidah bt Zabidin dan Kapten Adzrun Hisham bin Adnan. Ke Perdana Ballroom, Klang Executive Club, Hadirin diminta berdiri.


Anak Cina mengail patin
Mengail patin di tepi titi
Senyum terukir pasangan pengantin
Tanda gembira penuh di hati

Jelatik burung Jeladan,
Terbang seiring merentas maya
Sama cantik sama padan
Duduk berganding dihari bahagia

Dipersilakan pasangan pengantin serta tetamu duduk




Allah swt berfirman di dalam surah Al-Rum ayat 21:
Maksudnya

Dan di antara membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan - keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi tanda-tanda yang orang-orang yang berfikir.


Burung Nuri hinggap di balai
Balai seri buatan Pak Tua
Tempat berehat rakan dan taulan
Duduk tersenyum kedua mempelai
Menadah tangan memanjatkan doa
Moga jodoh sentiasa berkekalan

Dengan itu, bagi memohon majlis ini diBerkati dan diRahmati Allah SWT, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh Tn Haji Khairi Bin Parman iaitu bapa saudara pengantin perempuan. Majlis mempersilakan.
Bacaan doa


Majlis mengucapkan terima kasih atas bacaan doa oleh Tn Hj Khairi sebentar tadi.

Puan dibawa ke Gunung Ledang
Dibawa dengan penuh beradab
Pinggan mangkuk telah terhidang
Kini masa makan beradab

Semerbak bunga seroja
Dibelai dara pingitan
Lauk pauk penuh semeja
Jemput mempelai menikmati hidangan

Majlis diteruskan dengan acara kemuncak kita pada hari ini iaitu majlis makan beradab. Dengan rasa hormatnya, saya menjemput pasangan pengantin dan ahli keluarga serta tetamu kehormat untuk bersama - sama menikmati hidangan yang telah disediakan.

Bagi hadirin / hadirat yang dirahmati sekalian, janganlah malu janganlah segan untuk sama – sama menikmati juadah enak yang disediakan. kepada tetamu yang baru tiba, saya bagi pihak tuan rumah mengalu – alukan kehadiran tuan tuan dan puan puan ke majlis yang bersejarah ini.



Hadirin yang dimuliakan,

Orang jauh dikenang-kenang
Hanya terkenang pada yang satu
Mula berkenalan kemudian bertunang
Akad dilafaz janji bersatu

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman
Kalungan budi junjungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman

Menyingkap bibit-bibit perkenalan pasangan pengantin ini, mereka mula berkenalan pada akhir tahun 2005, majlis rumah terbuka panglima di kem kuantan membuka lembaran sejarah, membibitkan rasa ingin menawan hati sang puteri.. Namun pada pandangan kali pertama , adzrun pandai menyimpan debar di hati sehingga petemuan di mess pegawai membuka ruang untuk menyapa gadis yang menjadi idaman hati. Perkenalan sebagai rakan sekerja akhirnya membibitkan rasa percaya dan cinta di antara mereka. Namun takbir tuhan tiada siapa menduga.. sedang cinta mula berbunga.. Adzrun per intah kem di Ipoh tempat baru diarah bertugas .
Namun jarak dan masa tidak menghalang cinta mereka… ikan di laut asam didarat, dalam kuali bertemu jua, Kalau jodoh tidak kemana… selang beberapa bulan Dr wahidah pula menerima arahan yang sama. Sekali lagi mereka bertugas di tempat yang sama. Kesempatan ini tidak dilepaskan untuk mereka lebih mengenali hati budi masing-masing. Namun dugaan datang sekali lagi pabila Adzrun sekali lagi beralih angin bukan meninggalkan wahidah tetapi akur akan perintah… di Kem Mahkota Kluang bakti dicurah..
Jarak yang memisahkan menambahkan resah dan gelisah.. akhirnya kata sepakat menunaikan sunah.. ke jinjang pelamin terdorong arah.


Setelah menyelami hati budi , setelah padu sumpah dan janji , setelah restu keluarga diberi , dalam keberkatan syawal yang lalu mereka telah mengikat tali pertunangan. Dan pada hari yang penuh bermakna ini, janji sepakat yang telah dibuat telah ditunaikan di dalam Majlis yang penuh berbahagia ini.

Untuk pengetahuan semua, kedua-dua mempelai ini telah selamat diijabkabulkan pada petang semalam iaitu Jumaat, 24 Disember 2010 bersamaan 18 Muharram 1432H di kediaman pengatin perempuan.. dan pada hari yang berbahagia ini mereka diraikan di Klang Executive Club ini.
Sebagai tanda kenangan , terimalah sebuah persembahan khas “ For The Rest of My Life”




Hadirin yang dimuliakan, yang datang kami raikan, yang berbudi kami hargai, bagi menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih,
Dengan itu, majlis mempersilakan Puan Nurhidayah bt Zabidin, adinda pengantin perempuan untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Penakik Pisau Raut
Ambil galah batang lintabung
Seludang dijadikan nyiru
Setitik dijadikan laut
Sekepal dijadikan gunung
Alam terbentang dijadikan guru

Demikianlah tadi ucapan terima kasih oleh pihak tuan rumah yang disampaikan oleh Pn Norhidayah. Majlis mengucapkan terima kasih.


Bagi memeriahkan dan menambah serinya majlis, Majlis dengan ini menjemput kedua – dua mempelai untuk acara memotong.

May your marriage mark the beginning of a rich and wonderful shared life,- no matter what life has in store, it will be easier because you will be there for each other.



Pengantin bangun dan memotong kek di meja yg disediakan



Tiup serunai di atas kota
Uda memupuk bunga melati
Mula kenal kemudian bercinta
Cinta tersemai di dalam hati

Pergi berzanji di pekan pagoh
Beli sekati ikan senohong
Sudah berjanji bersetia tegoh
Jangan dimungkiri bercakap bohong

Dengarlah ini ayah berpesan
Anak menantu, ayah ingatkan
Berkasih sayang sesama insan
Jangan cepat menjadi bosan

Amat garang datuk bentara
Musuh melanggar habis dibenam
Dulu seorang kini berdua
Hidup bersama susah senang

Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai di destinasi

Tiada untaian kata yang mampu dilafazkan selain ungkapan rasa syukur dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas daripada ayahanda dan bonda Raja Sehari dan ahli keluarga buat semua, atas kesudian hadir dan memeriahkan Majlis resepsi pasangan Kapten Dr Nurwahidah dan Kapten Adzrun Hisham pada hari yang penuh keberkatan ini.

Limau kasturi dibawa berembun
Selepas diembun dibelah-belah
Menyusun jari ku pohon ampun
Mohon ampun barang yang salah

Selepas diembun dibelah-belah
Dicampur pula gula batu
Mohon ampun barang yang salah
Minta maaaf madah berlalu

Dengan ini, Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan kedua pengantin mengambil tempat di pintu utama Dewan untuk mengucapkan terima kasih kepada para tetamu yang akan berangkat pulang.
Hadirin sekelian, tetamu kehormat berangkat meninggalkan majlis.




Pengantin beredar ke pintu utama Dewan

12
Maka dengan ini, usailah sudah majlis resepsi Kapten Dr Nurwahidah bt Zabidin dan pasangannya Kapten Adzrun Hisham bin Adnan. Bagi pihak tuan rumah, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih.

Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali

Dengan itu saya mengucapkan salam hormat buat semua, Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum WBT.

No comments:

Post a Comment