Saturday, February 26, 2011

Pengalaman ku .....2

Aku nie selalu juga jadi pengacara majlis untuk majlis kat sekolah.. so bila masa nak buat teks nie lah yang aku paling malas.. tapi inilah perkara yang sangat penting.. so nak tak nak aku kena juga buat...biasalah bila nak buat teks maka banyaklah blog yang aku cuba buka dan copy cara penulis tu buat skrip.. bagus gak.... so aku rasa tak salah juga kalau aku kongsi teks yang aku buat nie dengan sesiapa yang memerlukannya.. bukan niat nak tunjuk pandai kerana aku tahu ramai yang lebih hebat tapi sekadar berkongsi..manalah tahu ada kekawan yang baru pertama kali jadi MC dan kena buat teks so... bolehle copy. Tak salah pun, rasanya kalau yang baik tu bolehlah dikongsi bersama.

Teks Majlis Mesyuarat Agung PIBG kali Ke 19


8.00 pagi
Mengumumkan ketibaan Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Palil, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sementa ke majlis Mesyuarat Agung PIBG SKPU kali ke-19 . Hadirin diminta berdiri.


8.10 pagi

Pembuka tirai majlis kita pada pagi yang berbahagia ini marilah kita bersama menyanyikan lagu Negaraku dan seterusnya bersalawat ke atas junjungan kita Muhammad SAW.


Yang Berhormat Dato’ dan para hadirin dipersilakan duduk.

Bismillah Hiroman Nirohim…
Salam Sejahtera,Salam ukhwah dan salam 1 Malaysia.

Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal BismilLah pembuka bicara

Yang Berhormat Dato’ Dr Haji Abdul Rahman bin Palil, ADUN Sementa,
Yang berusaha Tuan Haji Adnan bin Ali Guru Besar SKPelabuhan Utara,
Yang Berbahagia Encik Aminuddin bin Yusof, YDP PIBG SKPU
Yg dihormati En Abdul Rani bin Daud GPK Kurikulum SKPU
Yg dihormati Pn Jemaah bt Ismail GPK HEM SKPU
Yg dihormati Pn Khodijah bt Alias, GPK Ko-Ku SKPU
Rakan-rakan sepejuang barisan pendidik SKPU, barisan AJK PIBG dan hadirin sekelian. Majlis mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke Mesyuarat Agung PIBG SKPU Kali ke-19 tahun 2011.


Hadirin yang dihormati,

Tetak buluh panjang sepuluh
Laksana dititing kias ibarat
Angkat tangan jejari sepuluh
Doa dipohon biarlah berkat

bagi memohon keberkatan majlis kita pada pagi ini, majlis dengan besar hatinya mempersilakan Ustaz Silauddin bin Ahmad untuk mengetuai bacaan doa. Majlis mempersilakan.



Hadirin yang dimuliakan,

Adat kita menyambut tetamu,
Salam dihulur mesra bertemu,
Hamparkan tikar lebarkan pintu,
Pemanis bicara aluan didahulu


Majlis diteruskan dengan ucapan aluan daripada Yang Berbahagia Encik Aminuddin bin Yusof YDP PIBG SKPU.Majlis mempersilakan.

Majlis merakankan ucapkan terima kasih atas ucapan YDP sebentar tadi.

Tuan-tuan dan puan –puan hadirin sekelian,

Tenang-tenang air dilaut
Mudik Kapal menuju haluan
Hadirin yang datang kami sambut
Ucapan guru besar kami persilakan

Sudah menjadi adat, yang datang kami raikan, yang berbudi kami hargai, Justeru majlis dengan besar hatinya mempersilakan yang berusaha Tuan Haji Adnan Bin Ali, Guru Besar untuk menyampaikan ucapan . Majlis mempersilakan

Majlis merakankan ucapkan terima kasih atas ucapan guru besar sebentar tadi.

Warga dewan yang dimuliakan,

Meliuk lentuk bunga melati,
Ditiup angin jatuh berserakan
Ucapan perasmian yang kita nanti
Dipersila YB Dato sampaikan ucapan.

Majlis dengan penuh takzim, menjemput dan mempersilakan YB Dato Haji Abdul Rahman bin Palil, ADUN kawasan Sementa untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis mesyuarat Agung PIBG SKPU kali ke 19. Dipersilakan YB Dato.


Bulan mengambang syahdu dan indah
Menjadi rinduan pujangga seni,
Majlis perasmian terlaksana sudah
Semoga diberkati mesyuarat ini.

Majlis merakankan ucapkan terima kasih atas ucapan perasmian oleh YB Dato sebentar tadi.




Tuan-tuan dan puan –puan hadirin sekelian,

Seperti lazimnya, PIBG semenangnya memberikan keutamaan dan komitmen yang tinggi dalam usaha membantu pihak sekolah meningkatkan pencapaian prestasi akademik anak-anak didik sekolah ini.
PIBG juga tidak lupa men ghargai setiap usaha yang telah dilakukan oleh murid-murid sekolah ini yang mengharumkan nama sekolah. Pada tahun 2010 yang lalu, sekolah ini telah mencatatkan peningkatan dalam pencapaian 5A UPSR bila mana seramai 7 orang murid telah memperoleh 5A dan seramai 7 orang memperoleh 4A 1B.

Menghargai usaha dan penat lelah murid-murid ini mengharumkan nama sekolah, pihak PIBG telah berbesar hati menyumbangkan sedikit cenderahati kepada murid-murid ini.

Bagi menyempurnakan majlis penyampaian cenderahati ini, majlis dengan bangganya mempersilakan Yg berusaha Tn Hj Adnan bin Ali, GB SKPU untuk menjemput dan mengiringi YB Dato Haji Abdul Rahman bin Palil naik ke pentas.

( penyampaian hadiah 5A/ 4A 1B )

Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati kepada barisan AJK PIBG sesi 2009-2011 yang tealh menjalankan tugas dengan penuh komited. Dengan itu dipersilakan……

( senarai AJK PIBG )

Yang kurik kendi,
Yang merah saga,
Yang elok budi,
Yang indah bahasa.

Dan sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan, atas kesudian YB Dato menyempurnakan majlis perasmian dan penyampaian cenderahati sebentar tadi, majlis mempersilakan yang berusaha Tuan GB untuk menyampaikan cenderahati kepada YB Dato. Dengan besar hati juga majlis mempersilakan apalah sudi kiranya YB Dato menerima cenderahati dari kami.



Majlis merakamkan jutaan terima kasih atas penyempurnaan majlis penyampaian cenderahati sebentar tadi.

Maka dengan itu, usai sudahlah majlis perasmian kita pada pagi yang berbahagia ini, majlis dengan ini, mempersilakan Yg berusaha Tn GB dan Yg dihormati YDP untuk menjemput dan mengiringi Yg Berhormat Dato Haji Abdul Rahman bin Palil ke dewan jamuan. Majlis mempersilakan.


Tuan-tuan dan puan-puan ,
Jamuan ringan untuk ibu bapa juga turut disediakan di kantin sekolah. Namun sebelum itu, sukacita saya maklumkan bahawa mesyuarat kita akan dijalankan selepas ini dan tuan-tuan dan puan-puan diingatkan untuk kembali di dewan ini pada jam……………………………………..
Dengan ini majlis mempersilakan tuan-tuan dan puan-puan untuk ke kantin sekolah untuk menjamu selera. Majlis mempersilakan.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Terima kasih kerana kembali bersama di dewan ini untuk meneruskan agenda mesyuarat kita pada hari ini. Bagi meneruskan mesyuarat hari ini saya mneyerahkan majlis kepada Yg Berusaha GB untuk memperngerusikan mesyuarat.

No comments:

Post a Comment